Pages

Saturday, 24 December 2011

HARI KIAMAT DAN PADANG MASYAR | Jom!Taubat


Gambaran Hari Qiamat 

 Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

 Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

 Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

 Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih. 

 Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

 Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

 Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

 Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

 Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

 Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga. 

 Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah: 

- Pemimpin yang adil.

- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.

- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

 Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

 Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

 Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

 ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

 Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

 Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

 Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

 Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

 Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

 Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

 Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

 Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

 Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat. 

 Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat : 

- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

 Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

 Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

 Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

 Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

SOLAT SUNAT TAUBAT

Solat Sunat Taubat merupakan satu cara untuk membersihkan diri dari sebarang perbuatan dosa,kesalahan,atau sebarang perlanggaran hukum-hukum agama.Setelah seseorang itu sedar dari kesalahanya dan ingin bertaubat dan kembali ke jalan ALLAH,boleh ia mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat pada bila-bila masa yang dikehendakinya.Lebih afdhal kalau dikerjakan pada tengah malam ketika suasana yang sepi dan tenang.

Imam Asy-Syaukaany menyebut sebuah Hadis Nabi SAW,menyebut bahawa Nabi SAW bersabda:

             Tidak dari seorang yang berbuat dosa kemudian berdiri lalu mengerjakan solat dua rakaat lantas memohon ampun kepada ALLAH melainkan ALLAH mengampuni dosanya.
Solat ini dilakukan dua rakaat seperti solat sunat yang lain tapi taubat nasuha seseorang mestilah melalui syarat taubat dengan sepenuhnya iaitu:


 i.   Benar-benar menyesali diatas segala perbuatan yang dilakukan
ii.   Berhenti daripada melakukan maksiat dan dosa yang dimaksudkan.
iii.  Berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi kesalahan itu bahkan berusaha menjauhinya.
iv.  Jika kesalahan dengan seseorang,maka hendaklah segera meminta maaf dengan orang berkenaan.



Kaifiat mengerjakanya


Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;


Lafaz niatnya
Bacaanya    
Rakaat Pertama:
      Disunatkan membaca Doa Iftitah. Selepas itu membaca surah Al-Fatiha bacalah surah Al-Kafirun atau mana-mana ayat mahupun surah dalam Al-Quran

Rakaat Kedua:
      Membaca surah Al-Fatiha dan selepas itu bacalah surah Al-Ikhlas atau mana-mana ayat mahupun surah dalam Al-Quran

Kemudian selepas salam bacalah wirid dan istighfar berikut:


Kemudian bacalah apa-apa doa yang bersesuaian dengan maksud dan kehendak.Doa Taubat berikut boleh juga dibaca secara beramai-ramai:


Ertinya:Aku pohon ampun kepada ALLAH yang Maha Agung (dibaca 3 kali) yang tiada tuhan lain yang layak disembah melainkan dia yang hidup dan berdiri dengan sendirinya dan aku bertaubat kepadanya daripada semua dosa yang aku lakuakn secara sengaja atau tidak sengaja,secara sembunyi atau secara terang-terang,sama ada dosa kecil atau dosa besar.Sesungguhnya Engkau Maha Mengampun segala dosa.Engkau juga yang membuka pintu hati (untuk bertaubat).Engkau penutup keaiban.Engkau pelenyap segala kedukaan.Dan aku bertaubat kepada engkau dari segala dosa yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui - hanya engkaulah sahaja yang mengetahui semua yang tersembunyi.Tidak ada daya kekuatan melainkan dengan (daya dan kekuatan) ALLAH yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.Ya ALLAH!Sesungguhnya aku menyesali atas semua perbuatan maksiat yang aku lakukan,dan berilah petunjuk agar dapat kepastian dalam hal ini,dan lagi aku melepaskan diri dari semua agama selain daripada agama Islam.Wahai ALLAH!Jika sekiranya aku pernah berlaku syirik(terhadap engkau) dan syak waham dalam hal keimananku dan pengEsaanku terhadap Engkau maka dengan hal yang demikian aku bertaubat dan ampunilah kesalahanku.Akhirnya aku mengucapkan dan mentasdiqkan (membenarkan) bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH.

SUMBER: Panduan Solat Sunat oleh Mohd Amin Abu Daud

Monday, 19 December 2011

BERSEDIAKAH KITA?



Tanda-Tanda Saat Kematian
100 hari : Seluruh badan rasa bergegar.

60 hari : Pusat rasa bergerak-gerak.

40 hari : Daun dengan nama orang yang akan mati di arash akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang rungsing.

7 hari : Mengidam makanan.

5 hari : Anak lidah bergerak-gerak.

3 hari : Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.

2 hari : Seluruh dahi rasa bergerak-gerak.

1 hari : Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu subuh and asar.

Saat akhir : Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi (di bahagian belakang badan).
Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang akhir sekali, mengucap dalam keadaan qiam and jangan lagi bercakap-cakap.

******Bila Malaikat Mencabut Nyawa******
Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.

Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.


Sekian untuk ingatan kita bersama.

Saturday, 17 December 2011

Berkualiti’kah Istighfar kita? | Amal Islami


KALIMAH “Astaghfirullahal’azhim” sebenarnya tidak ternilai harganya kepada setiap kita, lebih-lebih lagi yang dosanya menggunung. Tapi, lumrah manusia yang cetek iman, istighfar mereka ada naik turunnya. Berfaedahkah ungkapan istighfar kita andai kita masih mengulangi (tetap) melakukan dosa, tak kira dosa kecil atau dosa besar? Bolehkah istighfar seperti itu?
Mari kita lihat.
PENDAPAT ULAMA’ SULUK
Ulama’ suluk (tasawwuf) berbeza pendapat dalam permasalahan ini. Eloklah kita sama-sama fahami pandangan mereka itu, sekaligus dapat membaca di takat manakah pencapaian rohaniah kita tika ini.
1) Pendapat golongan pertama
Istighfar itu memberi manfaat secara mutlak sekalipun langsung tidak ada keazaman dan taubat.
2) Pendapat golongan kedua
Istighfar itu langsung tiada faedahnya sekalipun disertakan dengan taubat.
3) Pendapat golongan ketiga
Mereka mengambil sikap akan memperincikan persoalan ini. Kata mereka: Istighfar yang diungkapkan oleh lisan akan memberi faedah dan manfaat kepada orang yang beristighfar jika…
  • disertakan dengan rintihan yang hangat.
  • disertakan permintaan yang tulus.
  • disertakan sikap merendah diri.
  • disertakan perasaan yang sangat mengharapkan keampunan pada masa hadapan.
  • memohon kepada Allah selayak seorang fakir kepada Tuannya yang Kaya.
  • berasakan diri sebagai makhluk yang lemah kepada Penciptanya yang Maha Gagah.
  • berasakan diri amat kerdil di hadapan Tuhannya yang Maha Besar.
Insya Allah, andai perasaan-perasaan tersebut tercetus dan berlaku dalam istighfar seseorang, maka tidak wajarlah istighfarnya itu disia-siakan.
ISTIGHFAR YANG AFDAL
Banyak sekali ayat al-Quran dan al-hadis menyatakan hujah-hujah yang tuntas dalam menjelaskan permasalahan ini.
Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali sendiri berpendapat: “Istighfar dengan lidah juga dikira sebagai kebaikan sekalipun lidah tersebut menuturkannya tanpa sedar. Ia adalah lebih baik daripada percakapan lidah tentang keaiban orang ataupun terlebih cakap.”
Apabila cakap sudah terlebih, maka terlebihlah jadinya. Yelah, berapa banyak masa kita yang terbuang begitu saja dengan kata-kata yang sia-sia apalagi kata-kata yang berbaur umpatan terhadap seseorang? Hairannya, kita tak pernah rasa risau tentang itu, walaupun tahu mati itu datangnya tiba-tiba. Sayyidina Umar r.a. berkata, “Sesiapa banyak cakapnya, maka banyaklah salahnya. Sesiapa yang banyak salahnya, maka sedikitlah sifat malunya. Sesiapa yang sedikit sifat malunya, maka sedikitlah sifat waraknya dan sesiapa yang sedikit sifat waraknya, maka telah matilah hatinya.”
Maka, kelebihan istighfar ini nyata nampak jika dibandingkan dengan duduk diam semata-mata. Namun, jika dibandingkan pula dengan istighfar yang disertai dengan gerak hati, maka kuranglah nilainya kerana istighfar dengan gerak hatilah yang lebih afdhal.
As Syeikh Abu Usman Al-Maghribi rahimahullah nyata sependapat dengan Imam al-Ghazali tatkala beliau menjawab satu pertanyaan yang diajukan kepadanya. “Lidahku bergerak dengan zikrullah dan membaca ayat-ayat suci al-Quran sedangkan hatiku lalai, maka bagaimana?”
Bersyukurlah kamu kepada Allah kerana telah menyalurkan anggota-anggota kamu kepada kebaikan, membiasakannya dengan berzikir dan tidak menyalurkannya kepada kejahatan serta membiasakannya dengan percakapan yang berlebihan.”
JANJI ALLAH SWT
Apa yang kita yakinkan ialah betapa Allah swt sekali-kali tidak akan mensia-siakan sesuatu amalan baik yang dilakukan hamba-Nya kerana itu janji Yang Esa. Firman Allah: “Sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orng yang mengerjakan amalan(nya) dengan baik.” (Al-Kahfi: 30)
Firman Allah lagi: “Sesiapa yang melakukan seberat biji sawi kebaikan, nescaya dia akan melihatnya (pada hari akhirat).” (Az-Zalzalah: 7)
Berikutnya di dalam surah An-Nisa ayat 40, Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya Allah tidak menganiayai seseorang walaupun sebesar zarah. Dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan dari sisinya pahala yang besar.”
Maka, istighfar yang telah kita bincangkan ini ialah suatu amalan dan bukankah amalan itu dikira kebaikan?
Manakala hadis yang diriwayat oleh Ibn Abid Dunya dan Al-Baihaqi di dalam kitab Syua’abul Iman dari Ibni Abbas r.a. secara maksudnya: “Orang yang memohon keampunan dari dosa (sedangkan dia tetap melakukannya), dia adalah umpama seorang yang mempermainkan Tuhannya.” Hadis ini berkedudukan daif. Sanad hadis ini sebenarnya tidak sampai kepada Rasulullah s.a.w. secara marfu’ sebaliknya hanya sampai kepada Ibnu Abbas r.a. secara mauquf (hadis yang disandarkan pada Sahabat). Jadi, ia bukanlah sebenarnya hadis Nabawi seperti yang disangkakan oleh umum.
Demikian juga kata-kata waliyullah, Rabii’atul Adawiyyah: “Istighfar kita memerlukan kepada istighfar yang banyak.” Pun begitu, janganlah kita menyangkakan yang beliau langsung tidak bersetuju dengan gerakan lidah kerana berzikrullah. Kata-kata beliau itu sebenarnya ditujukan kepada orang-orang yang lalai hatinya di kala beristighfar. Jadi mereka memerlukan istighfar terhadap kelalaian hati mereka, bukannya terhadap gerakan lidah mereka. Walhal, orang yang berdiam diri tanpa menuturkan sebarang istighfar juga sangat memerlukan kepada dua kali istighfar, bukannya sekali.
Justeru, permulaan istighfar seseorang hamba sekalipun dengan semata-mata gerakan lidah, janganlah dipandang kecil dan sia-sia. Imam Jaafar bin Sadiq pernah berkata: “Allah menyembunyikan tiga perkara dalam tiga perkara -
  1. Allah menyembunyikan keredhaan-Nya di dalam ketaatan kepada-Nya, maka janganlah kamu menghinanya, maka boleh jadi keredhaan-Nya terdapat di dalamnya.
  2. Allah menyembunyikan kemurkaan-Nya di dalam penderhakaan terhadap-Nya. Maka, janganlah kamu memandang ringan terhadapnya. Boleh jadi kemurkaan terdapat padanya.
  3. Allah menyembunyikan wali-wali-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya. Maka janganlah kamu menghina seorang pun dari kalangan hamba-hamba Allah. Boleh jadi wali Allah terdapat di kalangan mereka.”
Pun begitu, kita hendaklah berusaha memburu istighfar yang paling tinggi nilai kualitinya di sisi Allah!
Wallahu a’alam.